KLIK SINI..TABUNG LINUS SKKT

MAKLUMAN

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH & SELAMAT DATANG KEPADA MURID-MURID TAHUN 1 BAGI TAHUN 2013.

Ahad, 23 Disember 2012

UNSUR DIDIK HIBUR DALAM PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

LINUS SKKT

Istilah didik hibur atau 'fun learning' diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan KSSR pada tahun 2010. Ia merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan semasa melaksanakan set induksi atau semasa penutup sesi P&P. 
 
 
Definisi
Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati.

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.


Pengenalan
Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.


Bercerita - contoh didik hibur
Latar Belakang Didik Hibur

Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.
Ciri-Ciri Didik Hibur
Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:

(i) Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

(ii) Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

(iii) Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

(iv) Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

(v) Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.

(vi) Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

(vii) Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

(viii) Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

(ix) Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.

(x) Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur : Guru

Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

( i ) Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid

( ii ) Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.

(iii) Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.

(iv) Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.

(v) Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.

(vi) Guru boleh membuat pelbagai suara.

(vii) Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.

(viii) Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.

(ix) Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak

(x) Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel



Aktiviti Didik Hibur
Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:
( i ) Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.

( ii ) Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.

( iii ) Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.

( iv ) Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.

( v ) Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

( vi ) Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.

( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.



Penutup
Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran



Artikel ini saya salin daripada portal KSSR yang ditulis oleh Dr . Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar
 
tq juga kpd blog cikguhijau
 

Rabu, 5 Disember 2012

STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

LINUS SKKT
STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

Kaedah Mengajar Bacaan

iv. Kaedah abjad/huruf
v. Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
vi. Kaedah fonik/bunyi
vii. Kaedah Gabungan Bunyi-kata
viii. Kaedah VAK
ix. Kaedah pelbagai deria - VAKT
x. Kaedah Fernald
xi. Kaedah Gillingham


Kaedah Abjad/huruf

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.

Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.



Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan

Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.

Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.

Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]



Kaedah Fonik/bunyi

Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]



Kaedah gabungan bunyi – kata
( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )

Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

Contoh;

i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.

ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
a
iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.

iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.

v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.

vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf
(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).

vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu

Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;

i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).

ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).

Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.



 KESIMPULAN

Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.